Friday, January 9, 2009

Manusia mungkir janji

imam ibnu al-qayyim dalam kitabnya al-daa' wal dawaa' berkata: kegembiraanmu dengan perbuatan dosa,
tertawamu ketika melakukan dosa, kesedihanmu saat tidak dapat melakukan dosa, kesungguhanmu menutupi
aib akibat dosa dan hatimu yang tidak boleh gementar ketika Allah memandang dosamu, semua itu lebih berat
di sisi Allah melebihi timbangan dosa itu. betapa mudahnya kita melupakan dosa sedangkan Allah merekodkan
segala2nya untuk sidang perbicaraan di akhirat, bukankah sudah sampai kepada kita firman Allah mengenai
nasib manusia yang mudah melupakan dosanya firman Allah yang bermaksud: dan diletakkanlah kitab,
lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka
berkata aduhai celaka kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak pula yang besar,
melainkan ia mencatat semuanya dan mereka dapati apa yang sudah mereka kerjakan ada tertulis dan
Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun. (Surah al-Kahfi, ayat 49)
org yang benar-benar beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang sama dua kali dan orang yang
benar yakin dengan perhitungan hari akhirat pasti berusaha menjadikan hari ini lebih baik daripada
kelmarin dari segi peningkatan ilmu, iman dan ibadat.

seorang lelaki bertanya kepada ibrahim bin adham: wahai imam, aku ingin bertaubat dan meninggalkan dosa
tetapi aku selalu mengulangi dosaku, tunjukkanlah kepadaku jalan yang mencegah aku bermaksiat lagi kepada Allah.

ibrahim bin adham berkata: jika engkau ingin bermaksiat janganlah engkau melakukannya di atas bumi
milik Allah ini, lelaki itu bertanya lalu di manakah aku boleh melakukannya. ibrahim bin adham menjawab:
keluarlah dari bumiNya.,dan jika engkau masih ingin melakukan maksiat jangan makan rezeki kurniaanNya.
lelaki itu bertanya: bagaimana aku boleh hidup tanpa rezeki daripadaNya. ibrahim berkata: tidakkah engkau
rasa malu hidup di atas bumiNya dan makan daripada rezekiNya kemudian melakukan maksiat kepadaNya.

mengapa ramai hamba Allah yang sudah bertaubat di hadapan Kaabah, disaksikan masjid Rasulullah s.a.w
di sisi makamnya, dengan lelehan air mata yang menyesakkan dada tetapi dengan sekelip mata mengulangi
kembali perbuatan maksiat dan melupakan janji setia kepada Allah yang diikat di lehernya.

Dia ditipu oleh hasutan syaitan yang memanjangkan angan-angan bahawa dengan hartanya dia boleh 10 kali
lagi mengerjakan haji dan menambah amal salih. Tetapi dia lupa sihat dan sakit, ajal dan maut di tangan Allah
yang tidak mungkin dibeli dengan harta dan kedudukannya. bagaimana jika Allah mencabut nyawanya dalam
keadaan dia bermaksiat. begitu pula ketika seseorang ditimpa musibah, serta-merta dia ingat kepada Allah
dan cepat bertaubat, tetapi dengan sedikit saja harta dan keuntungan yang Allah tambahkan, dia sudah pun
lupa dan lalai kerana tidak tahan dengan ujian harta itu, akhirnya dia bermaksiat kembali tanpa rasa malu.

ingatlah kurniaan Allah
kadangkala Allah merahmati hamba-Nya dengan mengirimkan ilham ke dalam hati yang terdetik secara tiba-tiba.
pernahkah kita rasai kurniaan Allah itu semakin banyak dilimpahkan seiring semakin tebalnya buku catatan dosa
yang kita lakukan. mengapa Allah membalas dosa itu dengan rezeki yang semakin banyak, pujian manusia
yang semakin melambungkan nama, jawatan semakin kukuh, kehidupan meningkat sejahtera padahal dosa dibuat
berganda-ganda banyaknya. org yang mendapat keuntungan dunia hendaklah selalu mengingati firman Allah yg
bermaksud: barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya kami berikan
kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan
dirugikan. itulah orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu
apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan. (Surah Hud, ayat 15-16)

maha suci Allah yang sentiasa memberi peluang untuk manusia mengingati kurniaanNya, Allah yang
melimpahkan nikmat supaya mereka bersyukur dan kembali pulang, menangguhkan seksa kerana sayang
kepada kita sedangkan orang yang berdekatan dengan kita terkena bala dan musibah. fikirkanlah ilham
yang hadir dalam hati, belumkah lagi muncul hati yang malu milik hamba Allah yang beruntung ini
Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengapa Baginda melakukan solat malam sehingga kaki
Baginda bengkak sedangkan Allah sudah menyucikan dirinya. Rasulullah s.a.w bersabda yang
bermaksud: tidak bolehkan aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku.
(Hadis riwayat al-Bukhari)


telitilah aib diri
ada seorang hamba yang berangan-angan masuk syurga dengan membawa sembahyang yang dilakukan dengan lalai
hingga habis waktu, puasa yang perisainya dikoyakkan dengan dengki, pertengkaran dan perbuatan keji, haji
yang dilakukannya tanpa reda dan hilang sabar, kering ilmu dan kosong amal. dia mahu mengetuk pintu
syurga dengan tangannya yang berlumuran darah kerana mengambil hak saudaranya, menjerit minta
diizinkan masuk padahal mulutnya masih berbau bangkai mayat saudaranya yang diumpat, matanya
mengintai-intai taman syurga tapi kabur oleh gelapnya bayang-bayang maksiat yang pernah dilakukannya.

sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hambaNya,
pasti Allah mencabut rasa malu dalam dirinya, jika dicabut rasa malu maka kamu tidak akan menjumpainya
melainkan orang itu membenci dan dibenci. apabila kamu tidak menjumpainya kecuali ia membenci dan
dibenci, dicabutlah rasa amanah daripadanya maka jika dicabut rasa amanah, kamu tidak menjumpainya
kecuali ia khianat dan mengkhianati kemudian jika kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan
mengkhianati, dicabutlah kasih sayang daripadanya, jika kasih sayang dicabut maka kamu tidak
menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat, akhirnya dicabutlah ikatan keislaman darinya.
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

betapa malunya membandingkan kejahilan diri kita dengan ulama, kemalasan kita dengan orang yang ihsan,
riak yang terpalit di hati ini bandingkanlah dengan sifat ikhlas yang menghiasi jiwa orang lain.
org kaya yang bersedekah satu gantang berasa malu melihat orang miskin boleh bersedekah 10 kali ganda
daripadanya, semua orang mukmin yang mulia akhlak dan kuat ibadatnya serta luas kefahaman ilmunya
menjadi teladan untuk kita...

1 comments:

c!k baBy said...

manusia mmg mudah bejanji.
tp sukar utk melaksanakan.

"nothing is more important than keeping your promise."